Pages

Friday

Frankie!


Frankie. Pertama kali aku melihatnya, ketika dia berada di Food Court di tepi Vistana Hotel. Aku melihat dua ekor kucing sedang bermain, lalu aku panggil mereka datang, namun hanya seekor yang bewarna belang kelabu datang kepadaku dan mengusap kakiku. Aku lihat ekornya sangatlah panjang seperti yang aku suka, kakinya seperti pakai stoking dan rupanya yang mancung walaupun dia hanya kucing kampung. Aku lihat ke sebelah kiri depan, mungkin adiknya, tetapi tidak mengendahkan aku yang sedang memanggilnya. Entah kenapa, dalam hatiku berkata, "That's it! Kali ni mesti bawak balik yang ni sebab jantan dan ekornya panjang".

Bermulalah episod menjaga Frankie. Pada mulanya semuanya berjalan lancar, namun apabila Frankie semakin meningkat dewasa, dia menjadi seekor yang sangat garang. Pantang ada kucing lain yang lalu di territory rumahnya ini, pasti kena kejar sehingga tercirit. Boleh dikatakan ada sahaja luka baru dibadannya walaupun luka semalam belum sembuh. "Haiiihhh.." aku mengeluh. "Sudah-sudahlah bergaduh", aku kata padanya tetapi dia tidak mengendahnya dan tetap bergaduh setiap hari without fail. Pernah suatu malam Frankie berbunyi agak nyaring ketika bergaduh dengan kucing lain, oleh kerana agak marah, aku baling penutup besi kepala katil adikku untuk menghalaunya. Tapi sekejap saja dia senyap, lepas tu dia bunyi balik. Mungkin sebab kucing jantan agaknya, tidak akan serik walaupun kena simbah air.

Hari-hari lain, dia mesti escort Mimi (kucing liar di belakang rumah tapi mak sokmo bagi makan) masuk makan makanannya. "Wah Wahhh.. Baiknya hati, nak kene Frankie ni. Dia ingat murah agaknya makanan kucing ni". Kemudian boleh pulak di angkut satu batalion anak-anak Mimi sekali. Sabooo jer laaa...

Yang paling best pasal Frankie ini, dia teramat setia dengan aku. Bila dia dengar bunyi kereta aku, sudah pasti nampak dia berdiri di tepi pagar. Tidak kiralah pukul berapa aku balik, dia pasti menanti. Buka saja pintu kereta, dia sudah berada di tepi pintu. Pasti ke hulu ke hilir dia mengikuti aku. Kaum keluargaku amat takut dengan Frankie sebab dia sangat garang dan pernah mencederakan adik aku. Tapi dia hanya dengar cakap aku sahaja. Setiap kali nak panggilnya, aku cuma perlu sebut namanya dan tepu pehaku beberapa kali. Muncullah dia.

Apabila menjelang waktu malam, dia pasti ingin tidur dalam rumah. Jadi dalam waktu pukul 4 pagi, pasti dia akan mencakar pintuku untuk meminta aku membuka pintu rumah; dan yang paling menjadikannya rapat dengan aku, apabila waktu pagi, dia sudah setia menantiku untuk membuka pintu bilik tidurku selepas bersiap untuk pergi kerja dan memandangku lalu berbunyi, "Meowww....". Aku tersenyum pasti dia sudah lapar jadi aku cepat-cepat isikan makannya ke dalam bekasnya. Bila sudah isi, dia memandangku dengan mata menggambarkan kegembiraan. Ya, aku tahu. Dia ingin menyuruhku teman dia makan, jadi aku usap-usap kepalanya, lantas dia makan.

Aku yakin, yang hidup pasti akan mati. Aku tahu hari Frankie akan tiba. Seperti orang-orang tua kata, apabila kucing kesayangan mati, tidak akan jumpa mayatnya. Sama juga Frankie. Setelah aku pasti Frankie mati seminggu kemudian tanpa melihatnya, aku buat seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hampir 7 tahun bersama Frankie, aku tidah tahu apa nak dikata.

Satu malam, selepas aku balik kerja, seperti biasa terlalu banyak function keesokan hari, aku pulang lewat. Tetiba aku teringat kepadanya. Berderai-derai air mataku terlalu sedih tak terkata. Aku menangis sambil membuka kunci pintu pagar, sehinggalah aku masuk ke dalam rumah. Aku menangis teresak-esak sebab rindukan dia. Sedih rasanya sehingga saat ini, rasa kehilangan itu tidak pudar hingga ke saat ini. Hebatnya rasa sayang aku kepada Frankie!

Hari ini di kantin pejabatku, aku ternampak seekor kucing yang rupanya dan warnanya sebijik seperti Frankie. Frankiekah itu? Bukan. Baru aku sedar, aku masih merinduinya hingga ke saat ini. Sayu hatiku...


"Rindukah dia kepadaku seperti aku merinduinya? Oh, Sayangku Frankie......."



"Seorang wanita masuk neraka kerana kucing. Ia menahannya hingga mati. Ia masuk neraka kerananya, kerana ia tidak memberinya makan sebab ia menahannya, dan tidak membiarkannya makan serangga-serangga tanah.” Hadith riwayat Bukhari.

No comments:

Post a Comment