Pages

Tuesday

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!

Syukur ke hadrat ilahi kita bertemu kembali dengan Ramadhan!

Rindunya saya pada Ramadhan walaupun agak susah kita untung mengekang diri dari banyak melakukan dosa pada bulan Ramadhan. Tapi nikmat menikmatinya tidak boleh dirasai seperti bulan-bulan biasa. Mungkin ini dinamakan Ramadhan Al-Mubarak!

Tapi sebenarnya saya merindui saat bersama arwah tatak dan arwah tok. Masa itu masih kecil jadi agak nakal. Tapi memang seronok kalau teringat masa itu. Makanan yang dihidangkan oleh arwah tok tidaklah mahal seperti makanan di hotel, tapi ia jauh lebih sedap dan lazat. Teringat kuah singgang ikan haya, ikan goreng selar kuning yang kecil rangup-rangup, bubur lambuk (teringatkan sahaja pun sudah membuat air liur saya kecur..hehe) dan kuah sayur masak lemak. Sambal belacan Abang Di memang wajib ada di atas meja dengan ulam-ulam timunnya. Entah kenapa, tak ada orang boleh menandingi masakan arwah tok saya. Mungkin rindu zaman tiada masalah dalam hidup waktu ketika kecil ^_^

Kita digalakkan untuk mempelajari berpuasa sejak dari kecil. Dari separuh hari hingga ke sepenuhnya dalam sehari. Kita dididik untuk mempelajari selok belok menahan diri, mengenal erti Ramadhan dan kenapa kita perlu berpuasa. Semoga ia menjadi pedoman kepada kita untuk tidak melupakan apa yang dituntut agama. InsyaAllah :)

Jangan lupa niat berpuasa sebelum keesokan harinya:
 
"Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala"


 Dan yang ini pula niat berpuasa untuk sebulan dibulan Ramadhan. Maklumlah ada kala kita terlupa jadi bolehlah dibaca pada di awal permulaan Ramadhan:
 "Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadhan kerana Allah Taala"


Tahun ini, saya puasa bertiga sudah! Ada Waseem Mikael di sisi saya. Jadi mungkin akan berkejar-kejar sedikit pada waktu malam nanti.Solat Terawikh confirm akan dibuat selepas Waseem tidur. Alahaiiii sayang.. janganlah lewat sangat nak tidur ye. Mommy and Daddy nak solat Terawikh.

Jadi jangan lupa kita amalkan segala yang terbaik di dalam kehendak agama untuk mendapat keredhaan. Sedekah, berzikir, perbanyakkan olat-solat sunat dan luangkan masa untuk mendengar tazkirah kerana ia mampu membersihkan jiwa. InsyaAllah.

Oh ye, kalau membeli makanan, janganlah sampai membazir ye. Sekadar cukup untuk mengalas perut dari kelaparan di siang hari ^_^

Firman Allah dan Maksudnya:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.”

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak dari kami sekeluarga!

No comments:

Post a Comment